UHW 5062

UJIAN DNA SELESAIKAN MASALAH


Pengenalan

DNA adalah singkatan bagi asid deoksiribonukleik. Ujian DNA dimulakan dengan mengekstrakkan DNA daripada sesuatu sel dan kaedah DNA typing atau penjenisan DNA secara polymerase chain reaction (PCR) akan dilakukan. Hasil-hasil PCR dikenal pasti menerusi mesin DNA sequencer yang dilengkapkan dengan komputer dan dan perisian khas. Setiap corak yang dihasilkan adalah berbeza bagi setiap individu. Selepas itu, corak yang terhasil ini akan dibandingkan dengan corak daripada sel yang kita sedia ada atau hendak ditentukan. Kebarangkalian untuk kedua-dua corak ini sama adalah 1 nisbah 59 billion. Oleh itu, kebenarannya adalah tinggi dan boleh dipercayai. Lebih-lebih lagi, keputusannya boleh diketahui dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan cara lain iaitu dalam masa dua atau tiga hari sahaja.

Ujian DNA di Amerika Syarikat dan Britian

Ujian DNA telah lama berkembang di kedua-dua negara ini dan adalah ketara bahawa kedua-dua negara ini sudah mengatasi dan meninggalkan negara lain di dunia termasuk kuasa Europah seperti Jerman dan Perancis.

Di Amerika, ujian DNA dianggap sebagai pemecah masalah yang paling berkesan dalam segenap aspek kehidupan. Daripada penyelesaian paterniti kepada penentuan perogol bersiri sehinggalah pengecaman identiti kes bunuh. Kini, pihak berkuasa Amerika telah mengarahkan bahawa semua anggota tentera supaya memberi darah mereka sebagai asas ujian DNA untuk dijadikan rekod mengenal pasti identiti mereka.

Di Britian pula, ujian DNA paling banyak digunakan dalam kes-kes jenayah berat. Pihak berkuasa negara itu telah mendaftarkan semua banduan yang diklasifikasikan

sebagai hardcore criminal dan mewajibkan mereka menjalani ujian DNA. Ini membolehkan pihak berkuasa membuat perbandingan corak berdasarkan ujian DNA terhadap penjenayah yang disyaki menerusi rambut, air mani atau darah yang ditinggalkan oleh penjenayah di tempat kejadian. Secara tidak langsung, ia akan menjimatkan masa dan memudahkan kerja pengecaman identiti.

Ujian DNA di Malaysia

Walaupun perkembangan ujian DNA di Malaysia agak ketinggalan tetapi masih boleh dikatakan memuaskan. Malah negara kita tidak lagi bergantung kepada Singapura untuk menjalankan ujian DNA. Terdapat dua makmal utama di negara yang boleh melakukan ujian DNA iaitu Jabatan Kimia, Petaling Jaya dan Universiti Malaya. Di samping itu, Makmal polis Cheras yang masih dalam pembinaan juga merupakan sebuah makmal forensik untuk membolehkan ujian DNA dilaksanakan. Di Malaysia ujian DNA lebih kerap digunakan untuk penentuan identiti mayat dan perogol. Misalnya, kes Highland Towers di Taman Hillview Hulu Klang, kes penghempasan pesawat di Tawau, kes perogol bersiri di Lembah Klang dan sebagainya. Yang terkini pula dapat ditinjau dalam kes perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri kita.

 

Kaitannya dengan Wahyu

Ujian DNA ini dapat dikatakan sesuai dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah. Ujian DNA ini bukan sahaja tidak mendatangkan mudarat kepada makhluk-makhluk di dunia ini sebaliknya ia membantu manusia menyelesaikan masalah manusia terutamanya dalam kes penjenayahan. Malahan perkembangannya tidak meninggalkan kesan ke atas persekitaran seperti pencemaran alam sekitar. Ujian DNA ini tidak seperti perkembangan ilmu DNA yang lain seperti pengacukan DNA, pengubahsuaian sifat DNA dan sebagainya yang telah menjauhi ajaran wahyu yang sebenar. Ilmu DNA sebegini bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah manusia tetapi lebih menyedihkan lagi ia menwujudkan masalah kepada bukan sahaja manusia tetapi seluruh alam ini. Di dalam Surah Al-Luqman ayat 20 ada menyatakan bahawa

"Kita perlu mempergunakan apa-apa yang ada di langit dan di buni seperti arang batu dan minyak tanah, udara dan sebagainya, perlu mempelajarinya terlebih dahulu sehingga diketahui mengenai semua rahsianya."

Dipercayai bahawa jika ujian DNA dapat digunakan secara meluas dalam membantu menyelesaikan kes-kes terutamanya yang membabitkan penentuan identiti, banyak kes-kes jenayah dapat diselesaikan dalam masa singkat kerana kebenaran dan ketepatan yang tinggi padanya. Kesimpulannya, ujian DNA harus dimantapkan lagi bagi membantu menyelesaikan masalah seharian manusia.

Petikan asal adalah daripada Berita Minggu, Ahad, 17 Januari 1999. (Muka 14)